Tuesday, November 2, 2010

Doa Kesyukuran untuk Fr. Gilbert.


Pihak Gereja Katolik St. Joseph Laboi, mewakili umat di gereja ini berasa terkejut atas kemalangan yang dihadapi oleh Fr. Gilbert beberapa hari lalu. Berdasarkan kepada berita oleh wakil umat yang mengunjungi Fr Gilbert, kemalangan tersebut merupakan kemalangan yang sangat teruk. Walau bagaimanapun, umat berasa sangat bersyukur kerana Fr Gilbert terlepas daripada kecederaan. Oleh itu, umat menitipkan doa kesyukuran atas keselamatan Fr Gilbert dan mudah-mudahan trauma yang dihadapi akan beransur hilang. Tuhan beserta kita.

Kesatuan Belia, Apa Kepentingannya? Kajian Kes (Artikel) di Paroki St. Valentine Beaufort.

Penulis : Bryan E Godon







Secara umum, belia adalah tunjang kepada kesatuan. Ini bermaksud, belia adalah tali penyimpul kepada institusi atau sesebuah kesatuan. Dan, dalam hal ini - Institusi Katolik.

Penulis membesar dengan pelbagai kaedah penyatuan belia oleh para pelayan umat Kristus di Keuskupan Keningau. Pelbagai peristiwa baik, kurang baik, manis dan kurang manis telah dirasai dalam usaha pembentukan kesatuan belia yang dinamik.

Malangnya, usaha yang telah digembleng itu, akhirnya tidak pula melahirkan anak (benih kejayaan) yang manis (secara keseluruhannya). Adakah pembaca mengakuinya?

Kesatuan belia - rahmat yang diberikan tuhan kepada instutusi gereja, telah dididik secara salah. Mengapa begitu? Jika salah, di manakah salahnya didikan itu?

Penulis membuat kajian (kajian kes - secara tulisan artikel - di Paroki St. Valentine Beaufort) berdasarkan kepada pengetahuan, temu ramah dengan para pelayan gereja (dan bekas-bekas pelayan) selain menganalisis program-program yang dianjurkan oleh kesatuan belia.

Kemuncak kepada proses penyatuan belia berlaku pada tahun-tahun awal 1990-an. Pada masa ini para belia telah menunjukkan suatu proses penyatuan yang sangat dinamik menuju matlamatnya. Boleh dikatakan bahawa, sebahagian besar program yang dianjurkan oleh Keuskupan Keningau telah berarak sehingga ke chapel-chapel.

Contohnya Konsert Belia, Perarakan Salib Jubli Belia(Jubli Salib Belia) di seluruh Sabah ketika itu, di samping retret-retret pelayanan, berkembangnya program Caroling dan Rosari dengan lebih sistematik (melalui KKD), serta penyertaan para belia ke konvensyen-konvensyen belia antarabangsa. Program-program ini, telah berkembang dengan baik - di bawah pelaksanaan oleh? - Belia.

Walau bagaimanapun, sebegitu cepat semua program itu berkembang, sebaliknya - cepat jugalah ia menguncup. Dan yang sedihnya, gereja terpaksa menubuhkan/mewujudkan "Senior Choir" untuk koir gereja (salah satu kesan kejatuhan kesatuan belia).

Jika demikian, timbul persoalan iaitu - di manakah perginya belia?

Gagasan Kesatuan Belia yang dahulunya rakus mengejar visi lenyap. Di manakah silapnya program belia ini?



Penulis berpendapat, Program Belia yang telah dimulakan oleh pelayan-pelayan gereja ini sangat baik untuk kesinambungan institusi gereja itu sendiri. Malahan, inilah program yang sebenarnya mampu melonjakkan institusi gereja menghadapi milenium ketiga. Belia adalah benteng kepada institusi gereja.

Malangnya, program Kesatuan Belia ini telah ditadbir urus secara silap. Dan, secara jujur - kesilapan itu adalah beban semua umat. Kesilapan itu sendiri berpunca daripada institusi gereja. Kesilapan yang menjadi milik kita semua.

Namun, jika dahulu kita boleh membangunkan Kesatuan Belia yang boleh berdiri dengan baik, mengapa tidak - pada hari ini, kita lakukannya sekali lagi, tuhan juga mengizinkan kita untuk membuat pusingan "U". Bukan sekali, tapi berkali-kali. Sebab itulah tuhan sentiasa mengetuk pintu hati kita.

(bersambung)

Pelayanan Iman Menuju Dunia Modenisasi.

Keimanan umat Katolik secara umumnya bergantung penuh kepada pelayan (pemimpin-pemimpin gereja) di dalam rumah tuhan. Hal ini telahpun berlaku dan berlangsung selama ribuan tahun.
Keimanan yang jelas terpancar daripada sikap dan perbuatan para pelayan menjadi contoh terbaik kepada umat. Perkara ini merupakan kunci kepada perkembangan sikap dan nilai positif umat secara keseluruhannya. Mengapa begitu?
Tuhan Yesus Kristus, sumber iman para pengikut kristus (Kristian), telah mengajar/ memberikan ajaran agama Kristian berdasarkan teladan. Hal inilah yang sehingga sekarang dipraktik oleh gereja melalui tradisi pelayanan gereja, terutama sewaktu proses sembahyang.
Tanpa amalan nilai yang baik, sikap yang terpuji sukar untuk dipraktikkan. Benarkah begitu?
Sikap dan amalan yang diamalkan oleh umat merupakan inti kepada keimanan. Sikap yang baik iaitu seperti perbuatan, cara bercakap dan berinteraksi dengan masyarakat, bermula daripada amalan nilai-nilai agama yang betul.
Contohnya, seseorang individu yang setia kepada ajaran agamanya akan menyedari tentang perbuatannya yang baik dan tidak baik. Manakala seseorang individu yang kurang mengamalkan nilai dan ajaran agamanya yang betul pasti akan mengamalkan sikap yang biasa diamalkannya dalam kehidupan seharian.
Biasanya, individu yang bercakap (nilai-nilai dan perbuatan yang menurut ajaran agamanya) tetapi berbuat sesuatu/ perbuatan dan interaksi yang tidak sopan layak digelar hipokrit.
Dan, amalan inilah yang sedang berkembang di dalam lingkungan gereja Katolik pada masa ini.
Seperkara yang lebih penting adalah, biasanya umat Katolik yang seperti ini, akan turut mengamalkan sikap atau nilai yang lebih negatif seperti ego, suka bercakap besar dan tidak boleh menerima pendapat orang lain.
Maka itu, penulis berpendapat bahawa sekiranya nilai-nilai seperti ini terus diamalkan oleh pengikut-pengikut Kristus, sekejap sahaja lagi gereja akan kelam oleh umat. Anak-anak muda akan menjauhkan diri daripada institusi ini. Generasi muda akan mencari wadah baharu untuk diimani. Perlu difikirkan bahawa, perkara ini bukanlah baharu. Ia telah terjadi dahulu dan akan terus berulang. Contohnya, penentangan oleh Martin Luther King. Selain itu, pemecahan institusi Katolik sehingga wujudnya ajaran Protestan.
Secara jujur, penulis percaya bahawa institusi gereja hanya boleh dipelihara jika pelayan-pelayan gereja, terlebih dahulu bersedia untuk menjadi lebih baik, kembali mengamalkan nilai-nilai serta ajaran Tuhan Yesus Kristus. Dengan itu, kita akan lebih bersedia untuk merendah diri dan menjadi baik mengikut ajaran agama.

Penulis: Bryan E Godon.