Tuesday, November 2, 2010

Doa Kesyukuran untuk Fr. Gilbert.


Pihak Gereja Katolik St. Joseph Laboi, mewakili umat di gereja ini berasa terkejut atas kemalangan yang dihadapi oleh Fr. Gilbert beberapa hari lalu. Berdasarkan kepada berita oleh wakil umat yang mengunjungi Fr Gilbert, kemalangan tersebut merupakan kemalangan yang sangat teruk. Walau bagaimanapun, umat berasa sangat bersyukur kerana Fr Gilbert terlepas daripada kecederaan. Oleh itu, umat menitipkan doa kesyukuran atas keselamatan Fr Gilbert dan mudah-mudahan trauma yang dihadapi akan beransur hilang. Tuhan beserta kita.

Kesatuan Belia, Apa Kepentingannya? Kajian Kes (Artikel) di Paroki St. Valentine Beaufort.

Penulis : Bryan E Godon







Secara umum, belia adalah tunjang kepada kesatuan. Ini bermaksud, belia adalah tali penyimpul kepada institusi atau sesebuah kesatuan. Dan, dalam hal ini - Institusi Katolik.

Penulis membesar dengan pelbagai kaedah penyatuan belia oleh para pelayan umat Kristus di Keuskupan Keningau. Pelbagai peristiwa baik, kurang baik, manis dan kurang manis telah dirasai dalam usaha pembentukan kesatuan belia yang dinamik.

Malangnya, usaha yang telah digembleng itu, akhirnya tidak pula melahirkan anak (benih kejayaan) yang manis (secara keseluruhannya). Adakah pembaca mengakuinya?

Kesatuan belia - rahmat yang diberikan tuhan kepada instutusi gereja, telah dididik secara salah. Mengapa begitu? Jika salah, di manakah salahnya didikan itu?

Penulis membuat kajian (kajian kes - secara tulisan artikel - di Paroki St. Valentine Beaufort) berdasarkan kepada pengetahuan, temu ramah dengan para pelayan gereja (dan bekas-bekas pelayan) selain menganalisis program-program yang dianjurkan oleh kesatuan belia.

Kemuncak kepada proses penyatuan belia berlaku pada tahun-tahun awal 1990-an. Pada masa ini para belia telah menunjukkan suatu proses penyatuan yang sangat dinamik menuju matlamatnya. Boleh dikatakan bahawa, sebahagian besar program yang dianjurkan oleh Keuskupan Keningau telah berarak sehingga ke chapel-chapel.

Contohnya Konsert Belia, Perarakan Salib Jubli Belia(Jubli Salib Belia) di seluruh Sabah ketika itu, di samping retret-retret pelayanan, berkembangnya program Caroling dan Rosari dengan lebih sistematik (melalui KKD), serta penyertaan para belia ke konvensyen-konvensyen belia antarabangsa. Program-program ini, telah berkembang dengan baik - di bawah pelaksanaan oleh? - Belia.

Walau bagaimanapun, sebegitu cepat semua program itu berkembang, sebaliknya - cepat jugalah ia menguncup. Dan yang sedihnya, gereja terpaksa menubuhkan/mewujudkan "Senior Choir" untuk koir gereja (salah satu kesan kejatuhan kesatuan belia).

Jika demikian, timbul persoalan iaitu - di manakah perginya belia?

Gagasan Kesatuan Belia yang dahulunya rakus mengejar visi lenyap. Di manakah silapnya program belia ini?



Penulis berpendapat, Program Belia yang telah dimulakan oleh pelayan-pelayan gereja ini sangat baik untuk kesinambungan institusi gereja itu sendiri. Malahan, inilah program yang sebenarnya mampu melonjakkan institusi gereja menghadapi milenium ketiga. Belia adalah benteng kepada institusi gereja.

Malangnya, program Kesatuan Belia ini telah ditadbir urus secara silap. Dan, secara jujur - kesilapan itu adalah beban semua umat. Kesilapan itu sendiri berpunca daripada institusi gereja. Kesilapan yang menjadi milik kita semua.

Namun, jika dahulu kita boleh membangunkan Kesatuan Belia yang boleh berdiri dengan baik, mengapa tidak - pada hari ini, kita lakukannya sekali lagi, tuhan juga mengizinkan kita untuk membuat pusingan "U". Bukan sekali, tapi berkali-kali. Sebab itulah tuhan sentiasa mengetuk pintu hati kita.

(bersambung)

Pelayanan Iman Menuju Dunia Modenisasi.

Keimanan umat Katolik secara umumnya bergantung penuh kepada pelayan (pemimpin-pemimpin gereja) di dalam rumah tuhan. Hal ini telahpun berlaku dan berlangsung selama ribuan tahun.
Keimanan yang jelas terpancar daripada sikap dan perbuatan para pelayan menjadi contoh terbaik kepada umat. Perkara ini merupakan kunci kepada perkembangan sikap dan nilai positif umat secara keseluruhannya. Mengapa begitu?
Tuhan Yesus Kristus, sumber iman para pengikut kristus (Kristian), telah mengajar/ memberikan ajaran agama Kristian berdasarkan teladan. Hal inilah yang sehingga sekarang dipraktik oleh gereja melalui tradisi pelayanan gereja, terutama sewaktu proses sembahyang.
Tanpa amalan nilai yang baik, sikap yang terpuji sukar untuk dipraktikkan. Benarkah begitu?
Sikap dan amalan yang diamalkan oleh umat merupakan inti kepada keimanan. Sikap yang baik iaitu seperti perbuatan, cara bercakap dan berinteraksi dengan masyarakat, bermula daripada amalan nilai-nilai agama yang betul.
Contohnya, seseorang individu yang setia kepada ajaran agamanya akan menyedari tentang perbuatannya yang baik dan tidak baik. Manakala seseorang individu yang kurang mengamalkan nilai dan ajaran agamanya yang betul pasti akan mengamalkan sikap yang biasa diamalkannya dalam kehidupan seharian.
Biasanya, individu yang bercakap (nilai-nilai dan perbuatan yang menurut ajaran agamanya) tetapi berbuat sesuatu/ perbuatan dan interaksi yang tidak sopan layak digelar hipokrit.
Dan, amalan inilah yang sedang berkembang di dalam lingkungan gereja Katolik pada masa ini.
Seperkara yang lebih penting adalah, biasanya umat Katolik yang seperti ini, akan turut mengamalkan sikap atau nilai yang lebih negatif seperti ego, suka bercakap besar dan tidak boleh menerima pendapat orang lain.
Maka itu, penulis berpendapat bahawa sekiranya nilai-nilai seperti ini terus diamalkan oleh pengikut-pengikut Kristus, sekejap sahaja lagi gereja akan kelam oleh umat. Anak-anak muda akan menjauhkan diri daripada institusi ini. Generasi muda akan mencari wadah baharu untuk diimani. Perlu difikirkan bahawa, perkara ini bukanlah baharu. Ia telah terjadi dahulu dan akan terus berulang. Contohnya, penentangan oleh Martin Luther King. Selain itu, pemecahan institusi Katolik sehingga wujudnya ajaran Protestan.
Secara jujur, penulis percaya bahawa institusi gereja hanya boleh dipelihara jika pelayan-pelayan gereja, terlebih dahulu bersedia untuk menjadi lebih baik, kembali mengamalkan nilai-nilai serta ajaran Tuhan Yesus Kristus. Dengan itu, kita akan lebih bersedia untuk merendah diri dan menjadi baik mengikut ajaran agama.

Penulis: Bryan E Godon.

Wednesday, October 27, 2010

Tapak Gereja Katolik St Joseph.



Perkembangan tapak bangunan baru

Gereja St Joseph, Laboi.


Tapak gereja telah siap ditimbus dengan tanah merah

pada 24.10.2010.

Selepas ini, kerja-kerja membina tapak bangunan dengan

menggunakan konkrit (simen) akan dimulakan.


Untuk makluman semua, tapak untuk bangunan gereja telah mengambil masa yang lama untuk siap kerana kerja-kerja menimbus tanah perlu dijalankan mengikut fasa atau peringkat.

Kawasan tapak bangunan gereja yang baru ini merupakan kawasan paya/berair yang memerlukan kerja penimbusan dilakukan secara teliti.

Hal ini penting kerana impak jangka panjang terhadap penggunaan bangunan gereja itu sendiri.


Fasa seterusnya adalah berkaitan langsung dengan landskap kawasan. Bahagian Pembangunan Landskap sedang dalam proses melengkapkan pelan landskap kawasan tapak gereja.

Bahagian ini akan melakukan penelitian daripada segi struktur tapak bangunan sebelum kerja-kerja membina tapak konkrit untuk bangunan gereja dilakukan.


Wednesday, July 7, 2010

Tuesday, May 18, 2010

SEUNTAI KATA, SERANGKAP PENGHARGAAN KEPADA BELIA KAMPUNG LABOI YANG BERJAYA MELANJUTKAN PELAJARAN KE PERINGKAT YANG LEBIH TINGGI


Pihak Gereja St. Joseph Laboi menitipkan untaian penghargaan kepada para belia yang berjaya menempa nama di peringkat yang lebih tinggi.


Selamat jalan, Selamat belajar, selamat maju jaya.


"BON VOYAGE"


'sekarang apa2 sepi menanti,

trem melintas chepat menggabah,

sa-bentar sahaja kita berpandang,

melintas lagi hilang di-mata'

'bagini-lah rupanya hidup ini,

bersua, bertemu, berlalu lagi...

dan bila musim semi tiba nanti,

kita akan bergembira lagi'


-zullyapitaloca-

1960

Kempen Jauhi Minuman Keras


Sudah tiba masanya kita bersuara untuk mengatakan "TIDAK" pada minuman keras.
Sudah tiba masanya TRADISI DAN ADAT RESAM ini dilepaskan daripada amalan kita.
Sudah tiba masanya umat menentang pengambilan minuman keras secara keterlaluan.
DAN SUDAH TIBA MASANYA GEREJA KATOLIK MENGATAKAN "TIDAK" PADA MINUMAN KERAS. JANGAN BENARKAN MINUMAN KERAS DIHIDANGKAN DALAM APA-APA ACARA "MAKAN BERSAMA" ANJURAN GEREJA.
JAUHI MINUMAN KERAS,
JAUHI BENCANA,
JAUHI PERKARA-PERKARA YANG NEGATIF.
SEDARLAH BAHAWA TRADISI INI TIDAK AKAN MEMBERI KITA KEBAHAGIAAN PADA MASA HADAPAN.

Kotobian Tadau Tagayo Do Kaataman






Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada semua.

Semoga Perayaan Pesta Kaamatan kali ini, umat akan dapat mencari atau menghayati maksud sebenar sebab untuk merayakan perayaan ini.

Mudah-mudahan kali ini, tidak berlaku peristiwa-peristiwa yang tidak baik seperti mati akibat mabuk, bergaduh dan sebagainya.



Mudah-mudahan kali ini, pemimpin-pemimpin "tegar" dapat memberikan homili yang lebih baik tentang maksud merayakan Pesta Kaamatan.


Sekian.

Saturday, May 15, 2010

GEREJA ST JOSEPH LABOI-RUMAH IBADAT BARU SEDANG DALAM PEMBINAAN


SYUKUR TUHAN, RUMAH IBADAT UNTUK GEREJA ST JOSEPH YANG BARU SEDANG DALAM PEMBINAAN DI TANAH "WAKAF" SAUDARA ANTIN GUDON. MUDAH-MUDAHAN IA AKAN MENJADI SUATU TITIK BAHARU UNTUK SEMUA UMAT KEMBALI UNTUK MENGIKUTI JALAN HIDUP MENURUT AJARAN TUHAN YESUS.

KEPEDULIAN DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN MENGENAI ARTIKEL SEJARAH PERKEMBANGAN AGAMA KRISTIAN KATOLIK DI KAMPUNG LABOI, BEAUFORT YANG DITULIS OLEH PENULIS


Bryan Edren Godon,
Peti Surat 356,
89808 Beaufort,
Sabah.

Tarikh: 25 November 2008.


Kepada Sesiapa Yang Berkenaan,
U.P: Pejabat Paroki Beaufort.

Tuan,
PER: KEPEDULIAN DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN MENGENAI ARTIKEL SEJARAH PERKEMBANGAN AGAMA KRISTIAN KATOLIK DI KAMPUNG LABOI, BEAUFORT YANG DITULIS OLEH PENULIS

Perkara tersebut di atas dengan segala hormatnya dirujuk.
02. Berhubung dengan artikel tersebut di atas iaitu Sejarah Perkembangan Agama Kristian Katolik Di Kampung Laboi, Beaufort yang ditulis oleh penulis seperti penama di atas, saya BRYAN EDREN GODON, memegang kad pengenalan bernombor 841224125301, dengan ini menyatakan dengan sebenar-benarnya bahawa artikel ini dihasilkan oleh saya sendiri, tanpa pengaruh atau didorong oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Segala komen, cadangan atau apa sahaja perkara baik frasa, isi tersurat dan tersirat mahupun rujukan-rujukan adalah benar (kecuali Maklumat Umat Katolik Di Chapel St. Joseph kerana tidak lengkap dengan biodata setiap ahli keluarga) dan tertakluk kepada undang-undang negara Malaysia. Tulisan ini menggunakan Format Standard APA dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.
03. Saya mengharapkan agar artikel yang terhasil ini dapat digunakan dengan baik, sesuai dengan standard artikel yang dihasilkan.
04. Saya juga menyatakan dengan sebenar-benarnya bahawa artikel Sejarah Perkembangan Agama Kristian Katolik Di Kampung Laboi adalah menjadi hak milik Chapel St. Joseph Kampung Laboi. Walau bagaimanapun, artikel ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, ditokok tambah atau dikurangkan, dikomen atau didebat secara ilmiah dan tertakluk kepada undang-undang negara Malaysia.

05. Segala pertanyaan, komen ataupun cadangan oleh tuan-puan saya terima secara terbuka. Saya boleh dihubungi melalui alamat berikut;
Bryan Edren Godon,
Kampung Laboi, Maraba Beaufort,
Peti Surat 356, 89808 Beaufort.
Tel: 087 812 890 (rumah)
: 016 813 3726 (telefon bimbit)
06. Secara keseluruhannya, segala isi sama ada tersurat atau tersirat merupakan interpretasi daripada komen dan temubual daripada para umat katolik di Kampung Laboi dan saya mengharapkan agar artikel ini dapat dimuatkan dalam Buku Perayaan UTK 16 tanpa sebarang penolakan isi dan idea (cutting of ide or facts) yang boleh menukarkan isi dan idea-idea yang ditulis. Walau bagaimanapun, pemendekan dan ringkasan artikel boleh dibuat mengikut budi bicara editor. Segala kerjasama daripada pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan berbanyak-banyak terima kasih.
Sekian, terima kasih.


Saya Yang Benar,

BRYAN EDREN GODON

Timbalan Setiausaha KUK,
Chapel St Joseph Kampung Laboi.

s.k ;
FAIL SETIAUSAHA KUK CHAPEL ST JOSEPH
FAIL PENULIS

MAKLUMAT/ BUTIRAN BILANGAN UMAT

MAKLUMAT UMAT DI CHAPEL ST JOSEPH KAMPUNG LABOI.
Berikut merupakan maklumat umat di Chapel St. Joseph Kampung Laboi setakat tarikh 01.10.2008;
1. Keluarga Encik Simon Bolih
-6 orang
2. Keluarga Encik Jude Ahing Muyau
-8 orang
3. Keluarga Encik Albert Abin Muyau
-18 orang
4. Keluarga Encik Paulus Tamin Bongkok
-8 orang
5. Keluarga Encik Kosai Godon
-8 orang
6. Keluarga Encik Edwin Godon
-21 orang
7. Keluarga Encik Jomili Joseph
-16 orang
8. Keluarga Encik Andrew Limpak
-6 orang
9. Keluarga Encik Justin Philip
-7 orang
10. Keluarga Encik Allen
-8 orang
11. Keluarga Encik Simon Jusno
-6 orang
12. Encik Jude-bujang
13. Encik Klili-bujang

CADANGAN-CADANGAN UMAT

CADANGAN-CADANGAN DARIPADA UMAT DI CHAPEL St. JOSEPH KAMPUNG LABOI UNTUK PERHATIAN PEMIMPIN GEREJA DI PAROKI BEAUFORT.

Umat di Chapel St. Joseph melihat secara penuh minat tentang perkembangan pelayanan, penyebaran agama Kristian Katolik khususnya di dalam lingkungan Paroki Beaufort ini. Oleh itu, sekali lagi umat mengutarakan beberapa cadangan yang pernah diberikan kepada pihak paroki dahulu untuk pertimbangan dengan niat bersama-sama membantu pihak gereja menyelesaikan masalah ini.
1. Gereja perlu peka terhadap keadaan umat Kristian Katolik terutama yang tinggal di kawasan kampung. Sesuai dengan iklim ekonomi global yang meruncing, pihak gereja perlu menjadi contoh yang baik kepada umat. Bermulalah dengan mengadakan kempen-kempen seperti Kempen Berjimat Cermat. Dalam hal ini, pihak gereja disaran untuk berjimat cermat dalam setiap perbelanjaan. Jadilah contoh yang baik kepada umat. Bantulah umat untuk berhadapan dengan masalah ini. Berikanlah harapan, berikanlah kasih sayang dalam setiap perkara yang gereja lakukan, ajarlah umat untuk berjimat cermat melalui praktik, melalui homili-homili atau perkongsian. Berusahalah untuk menjadi contoh yang baik kepada pengikut Kristus.

2. Masalah kekurangan belia untuk melayani di gereja. Masalah ini merupakan masalah yang telah lama berlaku. Walau bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis nampaknya tiada penyelesaian konkrit dibuat oleh pihak gereja dalam membantu menyelesaikan dan mengatasi masalah ini. Oleh itu, umat di Chapel St. Joseph berasa terpanggil untuk memberikan cadangan konkrit ke arah membendung masalah ini daripada terus berlaku.
Salah satu cara yang dicadangkan adalah pihak pentadbir paroki perlu bersedia untuk anjakan paradigm – melakukan perubahan minda untuk melakukan kerja yang jujur, telus dan berkualiti.
Sikap yang tersebut di atas sangat-sangat penting diamalkan oleh pentadbir gereja kerana hal ini merupakan asas kepada kualiti kerja yang berkesan. Tanpa budaya pemikiran seperti ini, perubahan kepada kesatuan belia di gereja tidak akan terlaksana dan masalah tidak akan mampu diselesaikan.
Mewujudkan sebuah badan atau syarikat – contohnya Syarikat Perladangan – yang bersifat perniagaan dan ditadbir secara profesional oleh individu yang berkelayakan.
Syarikat perladangan ini boleh mengusahakan tanaman komoditi seperti kelapa sawit atau getah. Hal ini sesuai dijalankan kerana memerlukan tenaga kerja (buruh) yang ramai. Dalam hal ini, pihak gereja boleh menggalakkan para belia untuk bekerja di lading tersebut. Justeru, para belia tidak lagi perlu mencari kerja di luar daerah Beaufort atau berhijrah ke tempat lain. Sekiranya kebajikan para belia dijadikan sebagai salah satu asas utama, pastinya mereka akan menerima pekerjaan tersebut dengan terbuka. Di samping dapat membantu para belia untuk meneruskan kehidupan, gereja juga tidak akan menghadapi masalah kekurangan belia untuk melayani di gereja. Berikanlah perhatian kepada warga emas, jagalah kebajikan mereka dan mudah-mudahan Koir Senior tidak lagi perlu diwujudkan.
- Gereja mempunyai tanah di Padas Valley.
Jikalau faktor jantina menjadi penghalang kepada belia wanita untuk bekerja di ladang-ladang, pihak gereja boleh mewujudkan sumber pekerjaan yang lain yang lebih bersesuaian dengan faktor penghalang tersebut.
Contohnya, mewujudkan nurseri atau taska yang bersifat perniagaan. Wujudkan pekerjaan supaya belia wanita dapat bekerja untuk menampung kehidupan mereka. Dalam hal ini, nurseri atau taska yang diwujudkan perlu bersifat perniagaan, perlu ditadbir urus oleh individu yang mempunyai kelayakan. Spesifikasikan taska atau nurseri kepada agama supaya lebih mudah dikendalikan. Misalnya, “TASKA GEREJA ST. VALENTINE”, dan galakkan belia-belia wanita untuk bekerja sebagai tutor. Hal ini bukan sahaja mampu membantu para belia untuk bekerja dan menampung kehidupan, malahan di pihak gereja sendiri pelbagai kebaikan akan dapat dihasilkan. Contohnya, belia akan tetap melayani di gereja selain nilai-nilai keagamaan dapat disemai dalam diri anak-anak sedari mereka masih kecil lagi.

“sekarang, membincangkan golongan miskin adalah sesuatu yang popular. Mengetahui, menyayangi dan berkhidmat untuk orang miskin pula adalah satu perkara yang berbeza”
- Mother Teresa .

PENUTUP.
Masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak gereja perlu diselesaikan secara kolektif, dorongan antara pemimpin gereja dan umat untuk saling bantu-mambantu merupakan jalan penyelesaian yang baik dan berkesan. Walau bagaimanapun, setiap individu, umat perlu bersedia untuk bersikap jujur, amanah dan bersedia untuk berkorban sesuai dengan asas ajaran agama Kristian Katolik itu sendiri. Umat perlu bersedia untuk menilai dan bertanya kepada diri sendiri tentang masalah-masalah yang berlaku di sekeliling. Tanpa dorongan, kerjasama dan minat para umat untuk bersama-sama bekerja memajukan gereja, perkembangan dan usaha penyebaran khabar baik Tuhan Yesus ini tidak akan dapat berjalan dengan jayanya.
Mungkin sudah tiba masanya di mana frasa “Jangan tanya apa yang gereja buat untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh buat untuk gereja” sudah tidak terpakai lagi kerana selama ini, para umat telah memberikan segala bantuan dan kerjasama semampu mereka. Umat perlu diberikan layanan yang baik dan sesuai dengan keadaan kehidupan mereka.
Salah satu perkara yang mustahak dalam ajaran Yesus Kristus adalah tentang harapan, harapan untuk kehidupan, sama ada semasa di dalam dunia ini mahupun apabila mati nanti, harapan untuk hidup menurut ajaran Tuhan, harapan untuk pelbagai perkara dan masalah. Hal ini kerana, setiap insan yang hidup di dunia ini hidup didorong oleh perasaan abstrak tentang harapan . Jadi, berikanlah harapan kepada para pengikut Kristus ini. Persoalannya, adakah para pelayan gereja yang dilihat secara luaran adalah insan baik dan berketrampilan bersedia untuk perubahan ini?

“kita jangan sekali-kali berpendapat yang kita semua begitu diperlukan. Tuhan mempunyai cara dan kaedahNya sendiri. Dia boleh membuat segala benda menjadi tidak menentu di bawah penyeliaan seorang rahib yang serba boleh. Tuhan hanya melihat kasih sayang seorang rahib. Jika kerjanya tidak dijalinkan dengan kasih sayang, ia tidak berguna, walaupun dia bekerja bermati-matian”
-Mother Teresa.

MASALAH-MASALAH UMAT

MASALAH-MASALAH UTAMA UMAT DI CHAPEL St. JOSEPH KAMPUNG LABOI.
Seperti yang diucapkan oleh Father Thomas Majakil , umat hanya akan mengingati Tuhan apabila menghadapi masalah. Hal ini kerana, ‘masa-Allah’ itu inilah yang sebenarnya mendekatkan diri kita kepada Allah Bapa di Syurga.

Salah satu masalah utama yang berlaku di kampung Laboi sehingga menjejaskan kepada usaha penyebaran khabar baik Allah kepada anak-anak muda adalah pendedahan yang tidak seimbang kepada masalah sosial secara keseluruhannya.
Hal ini perlu ditangani secara segera,(sekalipun hampir terlewat), bijaksana kerana anak-anak merupakan penerus kepada kejayaan sesebuah keluarga, sama ada secara individu ataupun dalam lingkungan institusi kekeluargaan. Asas kepada kepatuhan dan keimanan kepada Tuhan Yesus adalah kebersihan diri, kebahagiaan dalam keluarga itu sendiri. Dalam hal ini, anak-anak perlu diberikan didikan yang sesuai dengan kepercayaan mereka agar apabila mereka meningkat dewasa nanti, telah wujud suatu panduan yang berkesan dalam diri anak-anak dalam menilai sesuatu perkara sama ada baik ataupun tidak baik. Dalam hal ini, kepercayaan kepada agama, ajaran-ajaran yang baiklah yang akan membantu mereka dalam menghadapi hidup.
Oleh yang demikian, pendekatan secara psikologi merupakan jalan terbaik dalam mambantu anak-anak menghadapi cabaran hidup mereka. Di sinilah kepentingan agama itu sendiri wujud iaitu agar anak-anak mempunyai suatu kepercayaan – takut kepada Tuhan – .


Kedua, masalah yang telah lama wujud di kalangan umat di Chapel St. Joseph iaitu kurangnya lawatan paderi paroki ke Chapel di kampung Laboi. Hal ini bukanlah perkara yang baru berlaku, malahan telah lama berlaku dan belum dapat diatasi terutama oleh paderi paroki sendiri.
Alasan-alasan seperti berikut;
1. Father terlupa
2. Father sibuk
3. nama Chapel tidak/terlupa/tercicir dimasukkan dalam jadual lawatan paderi
merupakan alasan-alasan yang tidak munasabah .
Sepatutnya, alasan-alasan yang seperti ini tidak lagi terpakai kerana paderi telah diberikan kemudahan-kemudahan yang boleh dianggap sebagai baik. Seorang pengikut Kristus pernah berkata sebagai melihat tentang pekerjaan sebagai seorang paderi, beliau mengatakan bahawa –
“Kerjaya sebagai seorang paderi merupakan kerjaya yang sangat baik. Paderi dilihat seperti seorang menteri, diberikan segala kemudahan (asas) dan hidup dalam layanan para umat”.




Berikut merupakan tarikh-tarikh lawatan paderi ke Chapel St. Joseph kampung Laboi sejak
18.12.1999 hingga 07.09.2008;
- 18.12.99 – Father Paul Mikin
-04.07.00 – Father Paul Mikin
-06.07.00 – Father Paul Mikin
-04.09.00 – Father Paul Mikin
-28.10.00 – Father Paul Mikin
-04.03.01 – Father Paul Mikin
-05.04.01 – Father Paul Mikin
-19.07.01 – Father Paul Mikin
-20.09.01 – Father Paul Mikin
-09.11.01 – Father Paul Mikin
-15.12.01 – Father Paul Mikin
-25.03.02 – Father Paul Mikin
-24.05.02 – Father Paul Mikin
-29.11.02 – Father Gilbert Engan
-30.01.03 – Father Gilbert Engan
-15.04.03 – Father Gilbert Engan
-28.08.03 – Father Gilbert Engan
-29.02.04 – Father Gilbert Engan
-17.08.04 – Father Gilbert Engan
-24.10.04 – Father Gilbert Engan
-12.12.04 – Father Gilbert Engan
-19.06.05 – Father Gilbert Engan
-19.12.05 – Father Gilbert Engan
-26.03.06 – Father Gilbert Engan
-10.12.06 – Father Gilbert Engan
-07.10.07 – Father Gilbert Engan
-10.02.08 – Father Cladius Andrew
-07.09.08 – Father Philip Muji
keseluruhan lawatan paderi sejak tarikh 18.12.99 hingga 07.09.08 adalah sebanyak 28 kali sahaja .
Umat mengharapkan lawatan paderi yang lebih kerap, sesuai dengan peranan paderi sebagai pembawa khabar gembira kepada pengikut Kristus. Umat (mungkin) di Chapel St. Joseph tidak dapat menyediakan atau melayani kedatangan paderi paroki di chapel ini seperti sebuah pesta, di mana paderi dilayani seperti seorang kenamaan, diberikan layanan istimewa kerana umat di kampung Laboi bukanlah terdiri atau tergolong dalam keluarga yang berada. Lagipun, sesuai dengan keadaan semasa, umat di Chapel St. Joseph sudah tidak lagi mengamalkan tradisi merayakan upacara keagamaan dengan sajian minuman keras (tradisi).
-Sila berhubung terus dengan Bendahari KUK Chapel St. Joseph untuk sebarang respon.
Bendahari KUK: Encik Edwin K. Godon
Tel: 087 812 890 (rumah), 0168314681 (telefon bimbit).
Terima kasih.

Ketiga, keadaan Chapel St. Joseph kampung Laboi telah usang, telah tidak diperbaiki dan tidak menunjukkan seperti sebuah chapel atau Rumah Tuhan . Dalam usaha dan keghairahan para pemimpin gereja terutama di Paroki Beaufort untuk menceriakan keadaan paroki , adalah diharapkan agar para pemimpin tidak melupakan tentang keadaan chapel di kampung-kampung terutama di Chapel St. Joseph kampung Laboi ini. Rumah Tuhan ini telah usang, tidak pernah diselenggara, diperbaiki ataupun diperiksa oleh pihak paroki sejak didirikan pada tahun 1985 lagi.
Jawatankuasa KUK hanya mampu melakukan pembaikan kecil atas inisiatif umat. Adalah menjadi harapan dan doa para umat agar mungkin pada suatu hari nanti chapel kami akan dapat diperbaiki sesuai nama – Rumah Tuhan – itu sendiri.

KESATUAN DAN AKTIVITI UMAT

KESATUAN DAN AKTIVITI CHAPEL St. JOSEPH DAN UMAT.
Apabila Encik Jude Ahing Muyau dipilih menerajui Jawatankuasa KUK Chapel St. Joseph pada tahun 1997/98, pelbagai aktiviti yang dirancang berjaya dilaksanakan. Antaranya ialah Lawatan Doa Rosari dari rumah ke rumah, gotong-royong membantu sesama umat, selain kelas-kelas agama turut diadakan dengan dibimbing oleh Saudari Jenny Godon, Saudara Andrew Limpak dan diteruskan oleh Saudari Betty Jude sehinggalah sekarang.
Aktiviti yang dirancang oleh umat dan jawatankuasa KUK Chapel St. Joseph menekankan kepada pemupukan nilai-nilai moral melalui penghayatan keagamaan iaitu melalui ajaran Tuhan Yesus Kristus. Hal ini bukan sahaja difokuskan kepada para belia tetapi lebih kepada penekanan hubungan antara keluarga. Inilah yang menjadi asas kepada usaha penerapan nilai-nilai agama Kristian Katolik di Kampung Laboi.
Usaha yang dijalankan oleh para pemimpin agama di Kampung Laboi merupakan usaha mulia yang berterusan. Apabila Encik Simon Bolih menjadi Pengerusi KUK menggantikan Encik Jude Ahing Muyau, beliau menjadikan kualiti umat yang komited terhadap nilai-nilai keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dan perkembangan agama. Dalam hal ini, beliau mencabar keupayaan diri dan juga umat untuk berhadapan dengan realiti kehidupan, iaitu tentang perubahan minda ke arah pemikiran yang lebih ke hadapan, sesuai dengan keadaan semasa. Hal ini merupakan asas penting kepada usaha penyemaian nilai-nilai agama yang lebih cekap di kalangan umat khususnya di kampung Laboi.
Usaha melonjakkan budaya pemikiran ke arah yang lebih baik bukanlah bermakna beliau ingin menjadikan anak-anak muda khususnya belia sebagai liberal, tetapi beliau ingin supaya belia dan generasi muda mempunyai minda – budaya pemikiran yang lebih terbuka dan bersedia untuk menerima kritikan dan kritis.
Di samping itu, beliau juga berhadapan dengan karenah birokrasi terutama oleh pemimpin gereja di peringkat Paroki Beaufort. Hal ini berlaku hampir dalam semua perkara yang berkaitan dengan perjalanan keagamaan. Lawatan-lawatan paderi paroki ke Chapel St. Joseph jarang dilakukan . Peruntukan pembaikan Chapel St. Joseph tidak pernah diberikan oleh pihak gereja. Manakala cadangan atau komen yang diusulkan oleh umat di Chapel St. Joseph tidak diambil peduli.
Hal ini menyebabkan umat di Kampung Laboi berasa dipinggirkan dan dianak tirikan oleh pemimpin gereja di Paroki Beaufort. Walau bagaimanapun, sesuai dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau selaku Pengerusi KUK, beliau telah mengaplikasi halangan-halangan tersebut untuk dijadikan sebagai cabaran dan motivasi yang sangat berguna kepada umat. Hal ini telah secara perlahan-lahan menjadikan umat di Chapel St. Joseph lebih berdikari dan bersedia untuk hidup secara bersederhana tetapi tetap berpegang kepada ajaran agama Kristian Katolik yang betul sebagai asas kehidupan .
Apabila Encik Jomili Joseph menjadi Pengerusi KUK Chapel St. Joseph beliau telah sekali lagi meneruskan usaha tersebut sebagai matlamat penyebaran dan pendidikan agama yang baik. Hasilnya, sebahagian besar para belia di kampung ini telah berjaya dalam bidang yang diceburi.

Penekanan kepada aspek pendidikan juga merupakan salah satu program yang sangat-sangat diberi perhatian oleh pihak KUK Chapel St. Joseph. Hal ini terbukti dengan wujudnya tabung pendidikan Chapel St. Joseph yang dikenali sebagai “Insentif Pelajar Cemerlang” yang diusahakan oleh Bendahari KUK iaitu Encik Edwin Godon. Beliau telah menyumbangkan sebanyak RM250.00 ke dalam tabung pendidikan ini sebagai salah satu usaha menyemai minat belajar dan ganjaran kepada setiap belia yang cemerlang dalam pelajaran khususnya. Hasilnya, sebahagian besar belia di kampung Laboi berjaya melanjutkan pelajaran sehinggalah ke peringkat disertasi ijazah kedoktoran, ijazah sarjana, sarjana muda, diploma selain memasuki institusi kemahiran. Hal ini merupakan suatu kebanggaan kepada setiap umat di kampung Laboi.
Di samping itu, penekanan kepada aspek sahsiah diri turut diambil perhatian yang serius. Hal ini sesuai dengan ajaran agama Kristian Katolik yang betul. Usaha-usaha yang dijalankan oleh para pembimbing awam terutama Puan Betty Jude, Encik Andrew Limpak dan lain-lain dalam mengendalikan kelas-kelas agama untuk para belia di kampung ini turut menghasilkan impak yang positif.
Aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan diambil perhatian sesuai dengan ajaran agama iaitu seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung, gotong-royong membersihkan empangan paip air juga turut diadakan. Hal ini perlu memandangkan para belia merupakan penerus kepada generasi akan datang. Keupayaan dan kualiti kerja para belia merupakan asas kejayaan kampung ini dan Chapel St. Joseph. Hal inilah yang menyebabkan para ibu bapa dan penjaga para belia sering mengadakan perjumpaan dan perkongsian agar setiap permasalahan dapat diatasi secara bijak dan tidak bercanggah dengan ajaran agama Kristian Katolik. Dalam hal ini, usaha dilakukan secara komuniti berlandaskan kepada pengetahuan bahawa asas kejayaan seseorang individu berkait rapat dengan ajaran, kehidupan dan nilai sesebuah keluarga itu sendiri.
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi masalah yang membelenggu kehidupan masyarakat di kampung ini khasnya kepada para penganut agama Kristian Katolik.
SEJARAH PERKEMBANGAN AGAMA KRISTIAN KATOLIK DI KAMPUNG LABOI, BEAUFORT.
“dari luar jendela, beliau dapat melihat kesengsaraan di kawasan sesak Motijhil di luar halaman rapi dan bangunan Loreto yang teratur. Penuh kedamaian dan layanan sesama pelayan rumah Tuhan. Nampaknya hanya satu cara untuk merapati golongan termiskin, iaitu dengan bekerja di luar biara”

PENDAHULUAN.
Kampung Laboi merupakan kampung yang terletak di kawasan Maraba dalam daerah Beaufort. Jarak antara kampung ini dengan pekan Beaufort adalah kira-kira 26 kilometer.
Penduduk asal kampung ini merupakan imigran, iaitu berasal dari pelbagai tempat seperti Tambunan, Kiau, Tamparuli, Ranau, Papar, Penampang dan lain-lain. Penduduk kampung yang tiba dari pelbagai tempat di Sabah sebenarnya dibawa oleh pihak estet (British) untuk dijadikan atau bekerja sebagai penoreh getah. Pada masa ini, sebahagian besar daripada penduduk kampung mengamalkan kepercayaan animisme dan masih lagi terikat dengan tradisi dan adat resam peninggalan nenek moyang.
Penduduk kampung yang terawal menetap di Kampung Laboi adalah kira-kira lapan keluarga iaitu seperti berikut;
1. keluarga Godon Madisi
2. keluarga Muyau Dungul
3. keluarga Simon Angbi
4. keluarga Primus Bongkok Langgou
5. keluarga Bernadus Boli
6. keluarga Juakim Majanap
7. keluarga Martin Solutan
8. keluarga Langgau Dungul
Keluarga tersebut di atas telah datang ke kampung ini kira-kira tahun 1950-an lagi. Keluarga-keluarga ini bolehlah dianggap sebagai perintis (pioneer) kepada kewujudan kampung Laboi.

SISTEM KEPERCAYAAN.
Seperti yang diterangkan, penduduk kampung Laboi yang tiba lebih awal tidak mempunyai agama dan masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme dan adat resam peninggalan nenek moyang.

MASALAH PENDUDUK.
Oleh kerana jarak antara kampung Laboi dengan pekan Beaufort agak jauh iaitu kira-kira 26km, penduduk kampung menghadapi masalah untuk pergi mendapatkan rawatan di ruamh sakit/dispensari. Hal ini berlaku kerana rumah sakit yang terdekat terletak di pekan Beaufort. Oleh itu, penduduk kampung cenderung menggunakan khidmat bomoh atau dukun Bobohizan sebagai alternatif mengubati pelbagai penyakit.




UMAT MULA MENGENALI AGAMA KRISTIAN KATOLIK (RC).
Secara ringkasnya, peristiwa di bawah merupakan titik tolak kepada permulaan perkembangan agama Kristian Katolik di kampung ini.
Pada suatu hari dalam tahun 1960-an, seorang daripada ahli keluarga Encik Godon Madisi (mendiang) bernama Likim (sekarang bernama Mary) berumur 12 tahun telah menghidap penyakit ganjil menyebabkannya terlantar selama sebulan dan tidak dapat menggerakkan tubuhnya. Keluarganya telah memanggil seorang dukun untuk merawat penyakit ganjil Likim tetapi tidak berhasil. Akhirnya Likim dibawa ke rumah sakit iaitu di Hospital Beaufort.
Di rumah sakit, keluarga Encik Godon Madisi telah bertemu dengan seorang jururawat bernama Rita yang berasal dari Penampang. Rita telah memberitahu bahawa penyakit yang dihidap Likim adalah disebabkan oleh perbuatan syaitan dan mengesyorkan supaya Likim dibawa berjumpa dengan paderi untuk diberkati.
Akhirnya seorang paderi bernama Father Dapoze dipanggil ke rumah sakit untuk memberkati Likim. Dengan pertolongan dan kuasa Tuhan, selepas tiga hari diberkati, Likim beransur sembuh.
Sejak peristiwa itu, keluarga Encik Godon Madisi terdorong untuk mengenali dan mempelajari agama Kristian Katolik. Mereka tertarik untuk mempelajari dan hendak memeluk agama Kristian Katolik impak kesaksian yang dialami oleh keluarga mereka.

UMAT MULA MENERIMA BIMBINGAN KRISTIAN KATOLIK.
Keluarga Encik Godon Madisi ingin memeluk agama Kristian Katolik tetapi menghadapi masalah pembimbing. Secara kebetulan, mereka berpindah dan menetap di Kampung Batu 6.5, Lumadan. Di kampung ini, keluarga Encik Godon Madisi telah berjumpa dengan Encik Stephen Maidin Medinda iaitu seorang penganut agama Kristian Katolik. Beliau berasal dari Menggatal.
Encik Stephen Maidin Medinda merupakan orang yang membimbing keluarga Encik Godon Madisi tentang agama Kristian Katolik. Beliau menggunakan ruang rumahnya untuk dijadikan kelas mengajar/membimbing. Tanpa disangka, kelas bimbingannya mula mendapat perhatian positif daripada penduduk kampung dan jumlahnya semakin meningkat.
Pelajar pertama yang menerima pembaptisan adalah seramai tiga orang iaitu saudari Jovita Godon, Jenny Godon dan Mary Godon (Likim). Mereka merupakan penganut Kristian Katolik yang awal di kampung Batu 6.5, Lumadan.
Setelah dibaptis, ketiga-tiga umat Kristian Katolik ini pulang ke kampung Laboi dan mula memperkenalkan tentang Tuhan Jesus dan juga ajaran agama Kristian Katolik kepada penduduk kampung Laboi. Saudari Jovita Godon telah menjadi pembimbing kepada penduduk yang ingin mengenali ajaran agama Kristian ini dengan lebih dekat lagi.
Atas bimbingan dan kesediaan para penduduk, kesemua tujuh lagi keluarga mengambil keputusan untuk menerima dan menganut ajaran agama Kristian Katolik dan dibaptis pada tahun 1969.

UMAT DI KAMPUNG LABOI MULA BERIBADAT.
Setelah ketujuh-tujuh keluarga tersebut memeluk agama Kristian Katolik, ibadat sabda juga mula dirayakan pada setiap minggu. Pada masa ini, umat bergilir-gilir beribadat di rumah masing-masing dengan dipimpin oleh Saudari Jovita Godon.
Umat mula menyedari tentang keperluan chapel sebagai tempat merayakan ibadat sabda pada setiap minggu. Oleh itu, pada tahun 1969, umat mengadakan perbincangan pertama tentang keperluan mendirikan sebuah chapel di kampung ini.
Atas inisiatif umat, mereka bersetuju mengadakan pungutan sebagai alternatif mendirikan sebuah chapel di kampung Laboi. Dengan daya usaha dan kerjasama umat, akhirnya sebuah chapel yang didirikan di tapak tanah Encik Albert Abin Muyau siap dibina. Chapel ini diperbuat daripada bamboo (dinding dan lantai). Chapel ini telah disempurnakan pemberkatannya oleh Paderi Paroki Beaufort iaitu Rev. Father Michael Mewo pada tahun 1970. Walau bagaimanapun, chapel ini tidak diberikan nama.
Sesuai dengan perkembangan agama Kristian Katolik di kampung Laboi, paderi turut mengadakan lawatan Misa Kudus sekali dalam sebulan. Di samping itu, Pemimpin Awam Tetap adalah Saudara Michael Juakim Majanap. Ibadat sabda diadakan pada setiap minggu manakala sambutan daripada umat juga menggalakkan den telah mencapai sehingga 70 orang termasuk kanak-kanak. Selain umat dari kampung ini, ada juga umat yang datang menunaikan ibadat sabda di chapel ini iaitu sama ada dari kampung Batu 6.5 Lumadan ataupun dari Batu 5.
Walau bagaimanapun, apabila Pembimbing Ibadat Sabda Saudara Michael Juakim Majanap meninggal dunia pada tahun 1979, ibadat sabda terhenti atau tidak dapat diadakan. Pada masa ini, umat pergi ke Gereja St. Valentine Beaufort untuk menunaikan Misa Kudus pada setiap minggu.
Walau bagaimanapun, apabila Rev. Father Thomas Majakil bertugas di Paroki Beaufort, beliau telah mengadakan lawatan Misa Kudus sebulan sekali ke Kilang Papan Lim King Nam yang berhampiran dengan kampung Laboi. Oleh itu, umat dari Kilang, Koras dan juga Kampung Laboi dapat bersama-sama menunaikan Misa Kudus yang biasanya diadakan di rumah kongsi Saudara Lukas Sani yang bekerja di Kilang Papan tersebut.

CHAPEL St. JOSEPH KAMPUNG LABOI DIDIRIKAN.
Ketika Encik Albert Abin Muyau menjadi Ketua Kampung Laboi, iaitu pada tahun 1985, beliau menyedari tentang keperluan mendirikan sebuah chapel untuk umat menunaikan ibadat sabda dan juga Misa Kudus. Atas inisiatifnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan umat bertempat di rumahnya dan cadangannya untuk mendirikan sebuah chapel telah disokong oleh para umat. Oleh itu, beliau telah membawa perkara tersebut ke pengetahuan Wakil Rakyat Lumadan dan permohonannya telah dipertimbangkan dan seterusnya diluluskan.
Pembinaan chapel telah dimulakan pada 06 Ogos 1986. Setelah bangunan chapel siap, umat mendapati masih banyak lagi kelengkapan yang belum ada seperti bangku, altar dan juga bilik pertobatan. Oleh itu, umat memutuskan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa iaitu KUK St. Joseph Kampung Laboi dan dipengerusikan oleh Encik Jude Ahing Muyau.

UMAT MULA BERIBADAT DI CHAPEL St. JOSEPH.
Setelah kelengkapan chapel disediakan, maka umat pun mula mengadakan ibadat sabda mingguan. Pemimpin Ibadat Sabda ketika itu adalah Saudari Amelia Juakim dan dibantu oleh Saudari Lucia Gotom iaitu daripada tahun 1992 hinggalah 1996. Manakala Saudari Jenny Godon telah meneruskan tugas sebagai Pemimpin Ibadat Sabda dengan dibantu oleh Saudara Andrew Limpak. Seterusnya, tugas Pemimpin Ibadat Sabda diambil alih oleh Saudari Betty Jude dan Saudara Andrew Limpak secara bergilir-gilir sehinggalah sekarang. Selain itu, atas inisiatif mereka juga, Upacara Komuni dapat diadakan pada setiap minggu.
NAMA CHAPEL St. JOSEPH.
Nama chapel ini iaitu Chapel St. Joseph telah diberikan atas persetujuan umat dan jawatankuasa KUK chapel ini sendiri berdasarkan nama seorang paderi yang pernah bertugas di Paroki Beaufort iaitu Rev. Father Joseph Liansim.

GEREJA ST JOSEPH LABOI