IMAN BERDASARKAN PERIBADI YESUS
Lawatan pastoral oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong kepada
umat di St. Valentine Beaufort merupakan peristiwa yang tidak dapat
dilupakan terutamanya bagi umat di Gereja KUK St. Boniface, Bt. 60
Beaufort. Lawatan pada 8 September 2012 (Sabtu) tersebut adalah juga
sempena merayakan peristiwa 3 dalam 1 iaitu pemberkatan bangunan Gereja
St. Boniface, penerimaan Sakramen Krisma kepada seramai 46 orang calon
serta perayaan Ulangtahun Keuskupan ke-19 peringkat Paroki St. Valentine
Beaufort.
![bt60bv43w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_vIzHm8e5optQ9gkkC24EfgVmbjKEfwmOK9yQ-kpSY4SjeaEw7aAybXJGG9iFv81Cj_tFu7bWuOT37QgLnAtp58zWoPa5sci67XQlzNypwVN-SNTDz8C5uS7mFPniwsCV3Pl1P6YWXQJTDUqrCAS7E=s0-d)
Berjarakkan 4 batu dari pekan dengan keadaan jalan yang becak dan
dalam proses penaiktarafan itu sesekali tidak menghalang umat dari KUK
lain di sekitar paroki tersebut datang ke Misa Ekaristi untuk perayaan 3
dalam 1 itu.
Bersempena Pesta Kelahiran Bonda Maria yang jatuh pada tarikh
tersebut juga, Bapa Uskup menyatakan bahawa kelahiran Bonda Maria di
dunia adalah sangat penting kerana melaluinya rencana penyelamatan Tuhan
dapat dilaksanakan. Beliau menambah bahawa penyertaan Bonda Maria
kepada umat memang nyata sehingga timbulnya peristiwa-peristiwa dan
tempat-tempat suci dimana beliau memperlihatkan dirinya dengan berpesan
kepada umat untuk bertobat dan berdoa.
“Sebab itulah devosi kita terhadap Bonda Maria harus sentiasa kita ingat dan amalkan” pesannya.
![bt60bv44w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_tYu7vYH4FWIbceBXxJkweXWmD7Q6FKb6kZHf9iVybG7OI__IfVnIxV8Vvyw8GF8zM69AvvbqxW7BGOxVZGpn1rglPAk3nMDhUy6668aJad-UsNg9tXbGxGwhh0Apws3HRLTkE8bLlUwn2L8VCU0zI=s0-d)
Sebagai mempersiapkan para calon Krisma, beliau berkata, “saya
berharap kamu menyedari apa maksud menerima Sakramen Penguatan ini”
tegasnya dalam khutbah. Beliau menjelaskan bahawa dengan menerima
sakramen tersebut kita akan menerima Penolong (lih. Yoh. 14:26) yang
membantu untuk hidup bersatu dan setia kepada Yesus dan kehendakNya. Roh
Kudus juga mengajar kita mengalami kehadiran Tuhan dan merenung pesan
atau mesejNya melalui semua peristiwa hidup yang dialami. Selain
daripada itu, ia mengingatkan ajaran Tuhan dalam setiap keadaan terutama
dalam menghadapi pelbagai godaan dan membolehkan kita untuk tidak
tunduk kepada hasutan iblis (lih. 2Tim.1:6-7).
“Tapi kalau Roh Kudus itu kita tidak sedari dan peduli, maka ia pun
tidak dapat bertindak” tegasnya sambil membangkitkan isu cabaran-cabaran
iman masa kini yang dihadapi oleh umat tanpa mengira usia. Isu menukar
agama dengan mengejar pelbagai ganjaran duniawi itu dengan tegasnya Bapa
Uskup berkata “akibatnya mungkin tidak dirasa di dunia ini tetapi di
akhirat bagaimana?”
![bt60bv45w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_twC0UIS-Sh530XGPQ8fUbJHeFyP7DesMusyLQ4KssIY7q6cShHpRfU6J0F4DGRaUwcafbLfFN1YbuL8EcAHf7oMJInkU279mh6FLBGp1HPrIkmKZ7Kj5gf17odZ5y8kVm8J0qDzDFqgVpGyQH6ZKU=s0-d)
Beliau turut mengingatkan pesan tersebut kepada para belia yang masih
jauh perjalanan hidup sambil berkata “ingatlah bahawa iman kita ini
bukan setakat di dunia sahaja tetapi sampai di akhirat kerana iman kita
adalah bersifat relasi peribadi dengan Yesus.”
Menyentuh tentang tema Pastoral, beliau menjelaskan perlunya
mengamalkan kesatuan dengan Yesus, berakar umbi dalam Dia, dibangun di
atas Dia supaya iman menjadi mantap dan kuat. Sambil mengajak semua
mengambil kesempatan untuk memperbaharui komitmen sebagai
pengikut-pengikut Kristus, beliau menerangkan bahawa Pembaptisan tidak
menjamin untuk masuk syurga tetapi hanyalah pintu masuk dan sesudah itu
kita perlu berjalan bersama Yesus dan sesama iman kita untuk menyahut
panggilan hidup dalam kekudusan.
“Kita datang dari Tuhan dan kembali kepada Tuhan” katannya yang
seterusnya mengajak umat mengarahkan fokus kepada rumah Bapa di Syurga
sungguhpun menyedari kelemahan dan selalu jatuh dalam godaan.
![bt60bv46w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_sN32rMa9LNkQaXPp8dWj-9PhlsE_9D7t_5-2vn9c94CJCmpVvYDFI_AMShSEtL88ofrPjtok4hNr5z-1SmEoHJjMW9H2oT36TVWDstujC9TZ-8PB2vdB6KKCHizI3e0W6kvtcELuwuPn7LbBA2jg=s0-d)
![bt60bv47w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_uMnP19x0IGy6XUuQ0BCb4VsR22h_CYEPEkaBrXYtFU66OV-y4lZMX7FA27B24hxPa9rBQxAY2uz3T6v1pEOfypW3nDBrh2Rt1_QmFRAy97yNsGqj4vMCLMcnfujXplBBpMU4zc0gqMR-FZnESmqi0=s0-d)
Selanjutnya sesi ucapan yang dilaksanakan sejurus selepas misa perutusan.
Menerusi ucapan Pengerusi Pelaksana perayaan UTK-19 dan pemberkatan
bangunan gereja, Sdra. Beduin Tingkor, beliau berkata bahawa perayaan
tersebut terlaksana melalui semangat kesatuan bersama. Mengongsikan
pengalaman beliau pada mulanya apabila dilantik menjadi pengerusi
perayaan tersebut berkata bahawa berat hati untuk menerima tanggungjawab
itu kerana merasa tidak mampu melaksanakannya. Beliau turut menyatakan
rasa terharunya kepada semua dan kepada para belia kerana berusaha keras
membantu dalam gotong-royong untuk persiapan tersebut.
“Rupanya tugas saya sebagai seorang pengerusi pelaksana itu tidaklah
berat sangat sebab bantuan daripada saudara-saudari sekalian” katanya
dengan lega. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang
terlibat menjayakan perayaan tersebut serta kepada para penderma.
Pesannya kepada umat seiman agar dengan terbinanya bangunan gereja baru
tersebut maka umat didorong untuk mengambil masa datang kepada Tuhan
setiap minggu dan bukannya mencari masa.
![bt60bv48w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_vpEqfmgK4ubUUpTPwaF9tF_03DDMAbTARCBbvUipdUfnmo0Pjj9OwuS4ChmrYZvVP1x_Y5S_uAltEMKdtgXxYKqMrS0k0mGtzgHXMKCbsnx4CSL-ILdecfLJHPef3xyRcuGs3NJ5WgDeIapibanIQ=s0-d)
“Saya harap gereja yang baru ini adalah memperlihatkan iman kamu.
Semakin besar gereja itu maka semakin kukuh dan besar iman kamu” kata
Fr. Gilbert dalam ucapannya selaku paderi paroki di tempat itu. Beliau
dengan penuh syukur berterima kasih kepada Tuhan kerana semangatnya
menyahuti cabaran untuk merealisasikan penaiktarafan bangunan gereja di
paroki tersebut. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua
penderma terutama sekali kepada seorang penderma yang amat bermurah hati
membiayai sepenuhnya perbelanjaan pembinaan bangunan gereja tersebut.
Ditujukannya juga kepada para krismawan dan krismawati dengan menjemput
mereka masuk ke dalam badan-badan pelayanan dalam Gereja kerana
keperluan-keperluan pelayanan yang memerlukan sokongan dan bantuan
mereka. Beliau seterusnya mengumumkan UTK-20 peringkat Paroki Beaufort
pada tahun depan dituanrumahkan oleh KUK St. Joseph Labui.
![bt60bv49w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_vw-0842xjpUetxngsNujKtEYH2o2QW7y7xI7QDxOYq3he0EDg0X1GnMHgS5265Bmo4eB4jmqC8X7L2A802_loCx5ydCjWtDuTVUl3uVjxfzZ-dRkHMIzi7_KjG54fLhinVeFtX7H99YMbSK2zaebQ=s0-d)
Dalam sesi ucapan Bapa Uskup pula, beliau pertama-tama mengucapkan
syabas kepada para krismawan dan krismawati dan berpesan agar
menggunakan kuasa Roh Kudus dalam hidup setiap hari serta mengingatkan
mereka agar tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada para katekis
pembimbing yang membantu mereka disepanjang persiapan tersebut.
Menyetujui pesan Fr. Gilbert sambil memberitahu harapannya agar besar
gereja maka besar jugalah iman. “Tetapi itu tidak otamatik” tambahnya
lagi dan menjelaskan bahawa yang penting adalah membangunkan semangat
gereja yang ada dalam komuniti melalui KKD, KUK dan keluarga kerana
apabila relasi peribadi dengan Yesus dibangun, Dia menjadi asas iman
yang juga sumber kekuatan dan keinginan untuk datang ke gereja walaupun
gereja telah usang. Para krismawan dan krismawati juga diingatkan oleh
Bapa Uskup akan pesan Sri Paus agar iman berdasarkan peribadi Yesus
kerana ia menjadi pendorong untuk membangun iman secara konsisten. 3
perkara diperingatkannya melalui doa Yesus kepada Allah Bapa untuk
umatNya yang juga adalah harapan Bapa Uskup kepada umat di Bt. 60 iaitu
kesatuan, dilindungi daripada si jahat, hidup dalam kekudusan.
![bt60bv50w500](https://lh3.googleusercontent.com/blogger_img_proxy/AEn0k_sWg0nJtIE1vSmCbl3_JcIns_tML-O8ojjzqWEJvGYTZvvtqofUQS0B41R8ouSWn8yVaCpiMYSH1l1L_oFdty_ofsk6r4WBG0LP1r-oxeitR1oVx-BPvzu3MJq73rv-hiBiE8Hu2-9ONExL1pvC6Q=s0-d)
Perayaan dilanjutkan di dewan gereja dengan pelbagai acara menarik
yang dipersembahkan daripada setiap KUK dan KKD. Acara dewan bersurai
sekitar 4.30 petang.