IMAN BERDASARKAN PERIBADI YESUS
Lawatan pastoral oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong kepada umat di St. Valentine Beaufort merupakan peristiwa yang tidak dapat dilupakan terutamanya bagi umat di Gereja KUK St. Boniface, Bt. 60 Beaufort. Lawatan pada 8 September 2012 (Sabtu) tersebut adalah juga sempena merayakan peristiwa 3 dalam 1 iaitu pemberkatan bangunan Gereja St. Boniface, penerimaan Sakramen Krisma kepada seramai 46 orang calon serta perayaan Ulangtahun Keuskupan ke-19 peringkat Paroki St. Valentine Beaufort.Berjarakkan 4 batu dari pekan dengan keadaan jalan yang becak dan dalam proses penaiktarafan itu sesekali tidak menghalang umat dari KUK lain di sekitar paroki tersebut datang ke Misa Ekaristi untuk perayaan 3 dalam 1 itu.
Bersempena Pesta Kelahiran Bonda Maria yang jatuh pada tarikh tersebut juga, Bapa Uskup menyatakan bahawa kelahiran Bonda Maria di dunia adalah sangat penting kerana melaluinya rencana penyelamatan Tuhan dapat dilaksanakan. Beliau menambah bahawa penyertaan Bonda Maria kepada umat memang nyata sehingga timbulnya peristiwa-peristiwa dan tempat-tempat suci dimana beliau memperlihatkan dirinya dengan berpesan kepada umat untuk bertobat dan berdoa.
“Sebab itulah devosi kita terhadap Bonda Maria harus sentiasa kita ingat dan amalkan” pesannya.
Sebagai mempersiapkan para calon Krisma, beliau berkata, “saya berharap kamu menyedari apa maksud menerima Sakramen Penguatan ini” tegasnya dalam khutbah. Beliau menjelaskan bahawa dengan menerima sakramen tersebut kita akan menerima Penolong (lih. Yoh. 14:26) yang membantu untuk hidup bersatu dan setia kepada Yesus dan kehendakNya. Roh Kudus juga mengajar kita mengalami kehadiran Tuhan dan merenung pesan atau mesejNya melalui semua peristiwa hidup yang dialami. Selain daripada itu, ia mengingatkan ajaran Tuhan dalam setiap keadaan terutama dalam menghadapi pelbagai godaan dan membolehkan kita untuk tidak tunduk kepada hasutan iblis (lih. 2Tim.1:6-7).
“Tapi kalau Roh Kudus itu kita tidak sedari dan peduli, maka ia pun tidak dapat bertindak” tegasnya sambil membangkitkan isu cabaran-cabaran iman masa kini yang dihadapi oleh umat tanpa mengira usia. Isu menukar agama dengan mengejar pelbagai ganjaran duniawi itu dengan tegasnya Bapa Uskup berkata “akibatnya mungkin tidak dirasa di dunia ini tetapi di akhirat bagaimana?”
Beliau turut mengingatkan pesan tersebut kepada para belia yang masih jauh perjalanan hidup sambil berkata “ingatlah bahawa iman kita ini bukan setakat di dunia sahaja tetapi sampai di akhirat kerana iman kita adalah bersifat relasi peribadi dengan Yesus.”
Menyentuh tentang tema Pastoral, beliau menjelaskan perlunya mengamalkan kesatuan dengan Yesus, berakar umbi dalam Dia, dibangun di atas Dia supaya iman menjadi mantap dan kuat. Sambil mengajak semua mengambil kesempatan untuk memperbaharui komitmen sebagai pengikut-pengikut Kristus, beliau menerangkan bahawa Pembaptisan tidak menjamin untuk masuk syurga tetapi hanyalah pintu masuk dan sesudah itu kita perlu berjalan bersama Yesus dan sesama iman kita untuk menyahut panggilan hidup dalam kekudusan.
“Kita datang dari Tuhan dan kembali kepada Tuhan” katannya yang seterusnya mengajak umat mengarahkan fokus kepada rumah Bapa di Syurga sungguhpun menyedari kelemahan dan selalu jatuh dalam godaan.
Selanjutnya sesi ucapan yang dilaksanakan sejurus selepas misa perutusan.
Menerusi ucapan Pengerusi Pelaksana perayaan UTK-19 dan pemberkatan bangunan gereja, Sdra. Beduin Tingkor, beliau berkata bahawa perayaan tersebut terlaksana melalui semangat kesatuan bersama. Mengongsikan pengalaman beliau pada mulanya apabila dilantik menjadi pengerusi perayaan tersebut berkata bahawa berat hati untuk menerima tanggungjawab itu kerana merasa tidak mampu melaksanakannya. Beliau turut menyatakan rasa terharunya kepada semua dan kepada para belia kerana berusaha keras membantu dalam gotong-royong untuk persiapan tersebut.
“Rupanya tugas saya sebagai seorang pengerusi pelaksana itu tidaklah berat sangat sebab bantuan daripada saudara-saudari sekalian” katanya dengan lega. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan perayaan tersebut serta kepada para penderma. Pesannya kepada umat seiman agar dengan terbinanya bangunan gereja baru tersebut maka umat didorong untuk mengambil masa datang kepada Tuhan setiap minggu dan bukannya mencari masa.
“Saya harap gereja yang baru ini adalah memperlihatkan iman kamu. Semakin besar gereja itu maka semakin kukuh dan besar iman kamu” kata Fr. Gilbert dalam ucapannya selaku paderi paroki di tempat itu. Beliau dengan penuh syukur berterima kasih kepada Tuhan kerana semangatnya menyahuti cabaran untuk merealisasikan penaiktarafan bangunan gereja di paroki tersebut. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penderma terutama sekali kepada seorang penderma yang amat bermurah hati membiayai sepenuhnya perbelanjaan pembinaan bangunan gereja tersebut. Ditujukannya juga kepada para krismawan dan krismawati dengan menjemput mereka masuk ke dalam badan-badan pelayanan dalam Gereja kerana keperluan-keperluan pelayanan yang memerlukan sokongan dan bantuan mereka. Beliau seterusnya mengumumkan UTK-20 peringkat Paroki Beaufort pada tahun depan dituanrumahkan oleh KUK St. Joseph Labui.
Dalam sesi ucapan Bapa Uskup pula, beliau pertama-tama mengucapkan syabas kepada para krismawan dan krismawati dan berpesan agar menggunakan kuasa Roh Kudus dalam hidup setiap hari serta mengingatkan mereka agar tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada para katekis pembimbing yang membantu mereka disepanjang persiapan tersebut. Menyetujui pesan Fr. Gilbert sambil memberitahu harapannya agar besar gereja maka besar jugalah iman. “Tetapi itu tidak otamatik” tambahnya lagi dan menjelaskan bahawa yang penting adalah membangunkan semangat gereja yang ada dalam komuniti melalui KKD, KUK dan keluarga kerana apabila relasi peribadi dengan Yesus dibangun, Dia menjadi asas iman yang juga sumber kekuatan dan keinginan untuk datang ke gereja walaupun gereja telah usang. Para krismawan dan krismawati juga diingatkan oleh Bapa Uskup akan pesan Sri Paus agar iman berdasarkan peribadi Yesus kerana ia menjadi pendorong untuk membangun iman secara konsisten. 3 perkara diperingatkannya melalui doa Yesus kepada Allah Bapa untuk umatNya yang juga adalah harapan Bapa Uskup kepada umat di Bt. 60 iaitu kesatuan, dilindungi daripada si jahat, hidup dalam kekudusan.
Perayaan dilanjutkan di dewan gereja dengan pelbagai acara menarik yang dipersembahkan daripada setiap KUK dan KKD. Acara dewan bersurai sekitar 4.30 petang.
No comments:
Post a Comment