Saturday, May 15, 2010

SEJARAH PERKEMBANGAN AGAMA KRISTIAN KATOLIK DI KAMPUNG LABOI, BEAUFORT.
“dari luar jendela, beliau dapat melihat kesengsaraan di kawasan sesak Motijhil di luar halaman rapi dan bangunan Loreto yang teratur. Penuh kedamaian dan layanan sesama pelayan rumah Tuhan. Nampaknya hanya satu cara untuk merapati golongan termiskin, iaitu dengan bekerja di luar biara”

PENDAHULUAN.
Kampung Laboi merupakan kampung yang terletak di kawasan Maraba dalam daerah Beaufort. Jarak antara kampung ini dengan pekan Beaufort adalah kira-kira 26 kilometer.
Penduduk asal kampung ini merupakan imigran, iaitu berasal dari pelbagai tempat seperti Tambunan, Kiau, Tamparuli, Ranau, Papar, Penampang dan lain-lain. Penduduk kampung yang tiba dari pelbagai tempat di Sabah sebenarnya dibawa oleh pihak estet (British) untuk dijadikan atau bekerja sebagai penoreh getah. Pada masa ini, sebahagian besar daripada penduduk kampung mengamalkan kepercayaan animisme dan masih lagi terikat dengan tradisi dan adat resam peninggalan nenek moyang.
Penduduk kampung yang terawal menetap di Kampung Laboi adalah kira-kira lapan keluarga iaitu seperti berikut;
1. keluarga Godon Madisi
2. keluarga Muyau Dungul
3. keluarga Simon Angbi
4. keluarga Primus Bongkok Langgou
5. keluarga Bernadus Boli
6. keluarga Juakim Majanap
7. keluarga Martin Solutan
8. keluarga Langgau Dungul
Keluarga tersebut di atas telah datang ke kampung ini kira-kira tahun 1950-an lagi. Keluarga-keluarga ini bolehlah dianggap sebagai perintis (pioneer) kepada kewujudan kampung Laboi.

SISTEM KEPERCAYAAN.
Seperti yang diterangkan, penduduk kampung Laboi yang tiba lebih awal tidak mempunyai agama dan masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme dan adat resam peninggalan nenek moyang.

MASALAH PENDUDUK.
Oleh kerana jarak antara kampung Laboi dengan pekan Beaufort agak jauh iaitu kira-kira 26km, penduduk kampung menghadapi masalah untuk pergi mendapatkan rawatan di ruamh sakit/dispensari. Hal ini berlaku kerana rumah sakit yang terdekat terletak di pekan Beaufort. Oleh itu, penduduk kampung cenderung menggunakan khidmat bomoh atau dukun Bobohizan sebagai alternatif mengubati pelbagai penyakit.




UMAT MULA MENGENALI AGAMA KRISTIAN KATOLIK (RC).
Secara ringkasnya, peristiwa di bawah merupakan titik tolak kepada permulaan perkembangan agama Kristian Katolik di kampung ini.
Pada suatu hari dalam tahun 1960-an, seorang daripada ahli keluarga Encik Godon Madisi (mendiang) bernama Likim (sekarang bernama Mary) berumur 12 tahun telah menghidap penyakit ganjil menyebabkannya terlantar selama sebulan dan tidak dapat menggerakkan tubuhnya. Keluarganya telah memanggil seorang dukun untuk merawat penyakit ganjil Likim tetapi tidak berhasil. Akhirnya Likim dibawa ke rumah sakit iaitu di Hospital Beaufort.
Di rumah sakit, keluarga Encik Godon Madisi telah bertemu dengan seorang jururawat bernama Rita yang berasal dari Penampang. Rita telah memberitahu bahawa penyakit yang dihidap Likim adalah disebabkan oleh perbuatan syaitan dan mengesyorkan supaya Likim dibawa berjumpa dengan paderi untuk diberkati.
Akhirnya seorang paderi bernama Father Dapoze dipanggil ke rumah sakit untuk memberkati Likim. Dengan pertolongan dan kuasa Tuhan, selepas tiga hari diberkati, Likim beransur sembuh.
Sejak peristiwa itu, keluarga Encik Godon Madisi terdorong untuk mengenali dan mempelajari agama Kristian Katolik. Mereka tertarik untuk mempelajari dan hendak memeluk agama Kristian Katolik impak kesaksian yang dialami oleh keluarga mereka.

UMAT MULA MENERIMA BIMBINGAN KRISTIAN KATOLIK.
Keluarga Encik Godon Madisi ingin memeluk agama Kristian Katolik tetapi menghadapi masalah pembimbing. Secara kebetulan, mereka berpindah dan menetap di Kampung Batu 6.5, Lumadan. Di kampung ini, keluarga Encik Godon Madisi telah berjumpa dengan Encik Stephen Maidin Medinda iaitu seorang penganut agama Kristian Katolik. Beliau berasal dari Menggatal.
Encik Stephen Maidin Medinda merupakan orang yang membimbing keluarga Encik Godon Madisi tentang agama Kristian Katolik. Beliau menggunakan ruang rumahnya untuk dijadikan kelas mengajar/membimbing. Tanpa disangka, kelas bimbingannya mula mendapat perhatian positif daripada penduduk kampung dan jumlahnya semakin meningkat.
Pelajar pertama yang menerima pembaptisan adalah seramai tiga orang iaitu saudari Jovita Godon, Jenny Godon dan Mary Godon (Likim). Mereka merupakan penganut Kristian Katolik yang awal di kampung Batu 6.5, Lumadan.
Setelah dibaptis, ketiga-tiga umat Kristian Katolik ini pulang ke kampung Laboi dan mula memperkenalkan tentang Tuhan Jesus dan juga ajaran agama Kristian Katolik kepada penduduk kampung Laboi. Saudari Jovita Godon telah menjadi pembimbing kepada penduduk yang ingin mengenali ajaran agama Kristian ini dengan lebih dekat lagi.
Atas bimbingan dan kesediaan para penduduk, kesemua tujuh lagi keluarga mengambil keputusan untuk menerima dan menganut ajaran agama Kristian Katolik dan dibaptis pada tahun 1969.

UMAT DI KAMPUNG LABOI MULA BERIBADAT.
Setelah ketujuh-tujuh keluarga tersebut memeluk agama Kristian Katolik, ibadat sabda juga mula dirayakan pada setiap minggu. Pada masa ini, umat bergilir-gilir beribadat di rumah masing-masing dengan dipimpin oleh Saudari Jovita Godon.
Umat mula menyedari tentang keperluan chapel sebagai tempat merayakan ibadat sabda pada setiap minggu. Oleh itu, pada tahun 1969, umat mengadakan perbincangan pertama tentang keperluan mendirikan sebuah chapel di kampung ini.
Atas inisiatif umat, mereka bersetuju mengadakan pungutan sebagai alternatif mendirikan sebuah chapel di kampung Laboi. Dengan daya usaha dan kerjasama umat, akhirnya sebuah chapel yang didirikan di tapak tanah Encik Albert Abin Muyau siap dibina. Chapel ini diperbuat daripada bamboo (dinding dan lantai). Chapel ini telah disempurnakan pemberkatannya oleh Paderi Paroki Beaufort iaitu Rev. Father Michael Mewo pada tahun 1970. Walau bagaimanapun, chapel ini tidak diberikan nama.
Sesuai dengan perkembangan agama Kristian Katolik di kampung Laboi, paderi turut mengadakan lawatan Misa Kudus sekali dalam sebulan. Di samping itu, Pemimpin Awam Tetap adalah Saudara Michael Juakim Majanap. Ibadat sabda diadakan pada setiap minggu manakala sambutan daripada umat juga menggalakkan den telah mencapai sehingga 70 orang termasuk kanak-kanak. Selain umat dari kampung ini, ada juga umat yang datang menunaikan ibadat sabda di chapel ini iaitu sama ada dari kampung Batu 6.5 Lumadan ataupun dari Batu 5.
Walau bagaimanapun, apabila Pembimbing Ibadat Sabda Saudara Michael Juakim Majanap meninggal dunia pada tahun 1979, ibadat sabda terhenti atau tidak dapat diadakan. Pada masa ini, umat pergi ke Gereja St. Valentine Beaufort untuk menunaikan Misa Kudus pada setiap minggu.
Walau bagaimanapun, apabila Rev. Father Thomas Majakil bertugas di Paroki Beaufort, beliau telah mengadakan lawatan Misa Kudus sebulan sekali ke Kilang Papan Lim King Nam yang berhampiran dengan kampung Laboi. Oleh itu, umat dari Kilang, Koras dan juga Kampung Laboi dapat bersama-sama menunaikan Misa Kudus yang biasanya diadakan di rumah kongsi Saudara Lukas Sani yang bekerja di Kilang Papan tersebut.

CHAPEL St. JOSEPH KAMPUNG LABOI DIDIRIKAN.
Ketika Encik Albert Abin Muyau menjadi Ketua Kampung Laboi, iaitu pada tahun 1985, beliau menyedari tentang keperluan mendirikan sebuah chapel untuk umat menunaikan ibadat sabda dan juga Misa Kudus. Atas inisiatifnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan umat bertempat di rumahnya dan cadangannya untuk mendirikan sebuah chapel telah disokong oleh para umat. Oleh itu, beliau telah membawa perkara tersebut ke pengetahuan Wakil Rakyat Lumadan dan permohonannya telah dipertimbangkan dan seterusnya diluluskan.
Pembinaan chapel telah dimulakan pada 06 Ogos 1986. Setelah bangunan chapel siap, umat mendapati masih banyak lagi kelengkapan yang belum ada seperti bangku, altar dan juga bilik pertobatan. Oleh itu, umat memutuskan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa iaitu KUK St. Joseph Kampung Laboi dan dipengerusikan oleh Encik Jude Ahing Muyau.

UMAT MULA BERIBADAT DI CHAPEL St. JOSEPH.
Setelah kelengkapan chapel disediakan, maka umat pun mula mengadakan ibadat sabda mingguan. Pemimpin Ibadat Sabda ketika itu adalah Saudari Amelia Juakim dan dibantu oleh Saudari Lucia Gotom iaitu daripada tahun 1992 hinggalah 1996. Manakala Saudari Jenny Godon telah meneruskan tugas sebagai Pemimpin Ibadat Sabda dengan dibantu oleh Saudara Andrew Limpak. Seterusnya, tugas Pemimpin Ibadat Sabda diambil alih oleh Saudari Betty Jude dan Saudara Andrew Limpak secara bergilir-gilir sehinggalah sekarang. Selain itu, atas inisiatif mereka juga, Upacara Komuni dapat diadakan pada setiap minggu.
NAMA CHAPEL St. JOSEPH.
Nama chapel ini iaitu Chapel St. Joseph telah diberikan atas persetujuan umat dan jawatankuasa KUK chapel ini sendiri berdasarkan nama seorang paderi yang pernah bertugas di Paroki Beaufort iaitu Rev. Father Joseph Liansim.

No comments:

Post a Comment