KESATUAN DAN AKTIVITI CHAPEL St. JOSEPH DAN UMAT.
Apabila Encik Jude Ahing Muyau dipilih menerajui Jawatankuasa KUK Chapel St. Joseph pada tahun 1997/98, pelbagai aktiviti yang dirancang berjaya dilaksanakan. Antaranya ialah Lawatan Doa Rosari dari rumah ke rumah, gotong-royong membantu sesama umat, selain kelas-kelas agama turut diadakan dengan dibimbing oleh Saudari Jenny Godon, Saudara Andrew Limpak dan diteruskan oleh Saudari Betty Jude sehinggalah sekarang.
Aktiviti yang dirancang oleh umat dan jawatankuasa KUK Chapel St. Joseph menekankan kepada pemupukan nilai-nilai moral melalui penghayatan keagamaan iaitu melalui ajaran Tuhan Yesus Kristus. Hal ini bukan sahaja difokuskan kepada para belia tetapi lebih kepada penekanan hubungan antara keluarga. Inilah yang menjadi asas kepada usaha penerapan nilai-nilai agama Kristian Katolik di Kampung Laboi.
Usaha yang dijalankan oleh para pemimpin agama di Kampung Laboi merupakan usaha mulia yang berterusan. Apabila Encik Simon Bolih menjadi Pengerusi KUK menggantikan Encik Jude Ahing Muyau, beliau menjadikan kualiti umat yang komited terhadap nilai-nilai keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dan perkembangan agama. Dalam hal ini, beliau mencabar keupayaan diri dan juga umat untuk berhadapan dengan realiti kehidupan, iaitu tentang perubahan minda ke arah pemikiran yang lebih ke hadapan, sesuai dengan keadaan semasa. Hal ini merupakan asas penting kepada usaha penyemaian nilai-nilai agama yang lebih cekap di kalangan umat khususnya di kampung Laboi.
Usaha melonjakkan budaya pemikiran ke arah yang lebih baik bukanlah bermakna beliau ingin menjadikan anak-anak muda khususnya belia sebagai liberal, tetapi beliau ingin supaya belia dan generasi muda mempunyai minda – budaya pemikiran yang lebih terbuka dan bersedia untuk menerima kritikan dan kritis.
Di samping itu, beliau juga berhadapan dengan karenah birokrasi terutama oleh pemimpin gereja di peringkat Paroki Beaufort. Hal ini berlaku hampir dalam semua perkara yang berkaitan dengan perjalanan keagamaan. Lawatan-lawatan paderi paroki ke Chapel St. Joseph jarang dilakukan . Peruntukan pembaikan Chapel St. Joseph tidak pernah diberikan oleh pihak gereja. Manakala cadangan atau komen yang diusulkan oleh umat di Chapel St. Joseph tidak diambil peduli.
Hal ini menyebabkan umat di Kampung Laboi berasa dipinggirkan dan dianak tirikan oleh pemimpin gereja di Paroki Beaufort. Walau bagaimanapun, sesuai dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau selaku Pengerusi KUK, beliau telah mengaplikasi halangan-halangan tersebut untuk dijadikan sebagai cabaran dan motivasi yang sangat berguna kepada umat. Hal ini telah secara perlahan-lahan menjadikan umat di Chapel St. Joseph lebih berdikari dan bersedia untuk hidup secara bersederhana tetapi tetap berpegang kepada ajaran agama Kristian Katolik yang betul sebagai asas kehidupan .
Apabila Encik Jomili Joseph menjadi Pengerusi KUK Chapel St. Joseph beliau telah sekali lagi meneruskan usaha tersebut sebagai matlamat penyebaran dan pendidikan agama yang baik. Hasilnya, sebahagian besar para belia di kampung ini telah berjaya dalam bidang yang diceburi.
Penekanan kepada aspek pendidikan juga merupakan salah satu program yang sangat-sangat diberi perhatian oleh pihak KUK Chapel St. Joseph. Hal ini terbukti dengan wujudnya tabung pendidikan Chapel St. Joseph yang dikenali sebagai “Insentif Pelajar Cemerlang” yang diusahakan oleh Bendahari KUK iaitu Encik Edwin Godon. Beliau telah menyumbangkan sebanyak RM250.00 ke dalam tabung pendidikan ini sebagai salah satu usaha menyemai minat belajar dan ganjaran kepada setiap belia yang cemerlang dalam pelajaran khususnya. Hasilnya, sebahagian besar belia di kampung Laboi berjaya melanjutkan pelajaran sehinggalah ke peringkat disertasi ijazah kedoktoran, ijazah sarjana, sarjana muda, diploma selain memasuki institusi kemahiran. Hal ini merupakan suatu kebanggaan kepada setiap umat di kampung Laboi.
Di samping itu, penekanan kepada aspek sahsiah diri turut diambil perhatian yang serius. Hal ini sesuai dengan ajaran agama Kristian Katolik yang betul. Usaha-usaha yang dijalankan oleh para pembimbing awam terutama Puan Betty Jude, Encik Andrew Limpak dan lain-lain dalam mengendalikan kelas-kelas agama untuk para belia di kampung ini turut menghasilkan impak yang positif.
Aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan diambil perhatian sesuai dengan ajaran agama iaitu seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung, gotong-royong membersihkan empangan paip air juga turut diadakan. Hal ini perlu memandangkan para belia merupakan penerus kepada generasi akan datang. Keupayaan dan kualiti kerja para belia merupakan asas kejayaan kampung ini dan Chapel St. Joseph. Hal inilah yang menyebabkan para ibu bapa dan penjaga para belia sering mengadakan perjumpaan dan perkongsian agar setiap permasalahan dapat diatasi secara bijak dan tidak bercanggah dengan ajaran agama Kristian Katolik. Dalam hal ini, usaha dilakukan secara komuniti berlandaskan kepada pengetahuan bahawa asas kejayaan seseorang individu berkait rapat dengan ajaran, kehidupan dan nilai sesebuah keluarga itu sendiri.
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi masalah yang membelenggu kehidupan masyarakat di kampung ini khasnya kepada para penganut agama Kristian Katolik.
No comments:
Post a Comment