BEAUFORT: Perayaan Ulang Tahun Keuskupan Keningau-20 (UTK-20)
peringkat Paroki Beaufort telah diadakan di Gereja Katolik Saint Joseph,
Beaufort pada 08 Jun 2013 lalu yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang
Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong.
Perayaan
UTK-20 tersebut turut diadakan bersempena dengan Perayaan Ulang Tahun
Pentahbisan Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong, Pesta Kaamatan dan Pemberkatan
Bangunan Gereja Saint Joseph Laboi yang baru yang disatukan menjadi Perayaan
Empat Dalam Satu.
Seramai
kira-kira 600 umat di daerah Beaufort dan sekitar telah menyertai perayaan
tersebut yang bertemakan “Bersatu Dengan
Yesus, Berakar Umbi Dalam Dia, Dibangun Di Atas Dia Ke Arah Pemantapan Iman”.
Dalam
ucapan perasmiannya, Bapa Uskup menekankan tentang kepentingan perayaan UTK
kali ini sesuai dengan Tahun Iman 2013.
“Selaku anggota-anggota Keuskupan
Keningau iaitu para paderi, religious, Brother dan Sister serta umat awam,
marilah kita sentiasa menyedari dan mengusahakan peranan kita dalam
membangunkan komuniti umat Allah yang komited dan efektif melayani
Kerajaan-Nya,” katanya.
Di
samping itu, Bapa Uskup turut menyentuh tentang tema Tahun Iman iaitu “Pemantapan Iman Umat Allah Komited Bersaksi
Bagi Kerajaan Allah” yang perlu
dihayati oleh setiap umat secara peribadi dan bersama-sama merealisasikannya di
dalam kehidupan seharian.
Manakala
Paderi Paroki, Rev. Fr. Gilbert Lasius dalam ucapannya menekankan tentang
kepentingan mendasarkan keimanan kepada peribadi Kristus terutama kepada
generasi muda.
“Sebagai umat Kristus yang hidup
dalam era globalisasi ini, kita perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai
rintangan dalam kehidupan. Cabaran-cabaran yang besar seperti masalah sosial
dan ekonomi sudah pasti menjerut fizikal kita, tetapi sebagai pengikut Kristus
kita perlu sentiasa menyedari tentang rencana Allah agar kita dapat terus taat
dan menjadi alat kepada perkembangan iman,” katanya.
Selain
itu, Rev. Fr. Gilbert turut memuji usaha para belia dalam menganjurkan perayaan
tersebut yang akhirnya mampu membuka mata dan menjadi contoh kepada para
pemimpin gereja termasuk para paderi dan sister.
“Sesungguhnya, para belia Katolik
adalah nadi dan penerus kepada perkembangan gereja dalam menghadapi arus
kemodenan dan marilah kita bersama-sama bersedia menukar persepsi dan melakukan
anjakan paradigm ke arah positif terhadap teknologi-teknologi moden terutama
internet dalam pelayanan kita terhadap gereja,” sambungnya lagi.
Bagi
Pengerusi Penganjur (Bersama) En. Antin Gudon dan En. Simon Bollih, penganjuran
kali ini mempamerkan kelainan kerana keseluruhan kerja dilaksanakan oleh para
belia, selain turut memberikan penghargaan kepada penderma bangunan gereja
iaitu Datuk Victor Paul dan Perkasa Construction Sdn Bhd, yang akhirnya telah
memangkinkan interaksi, kegembiraan, keutuhan perpaduan dan kematangan iman
sesuai dengan tema perayaan tersebut.
Terdapat
pelbagai aktiviti yang dirancang oleh penganjur telah berjaya menambat hati
para umat iaitu seperti Pengunjung Bertuah, Sesi Bergambar Bersama Bapa Uskup, Garage Sale, Makanan Tradisi selain
persembahan pentas.
No comments:
Post a Comment